Cermin Kereta Retak Akibat Batu Pemotong Rumput Tepi Jalan, Ini Cara Tuntut Gantirugi Yang Betul

Jika sebelum ini kita sering membaca perkongsian tentang bagaimana untuk kita bertindak sekiranya terlibat dalam kemalangan dengan kereta lain, kali ini pula kita akan mempelajari apa yang perlu dilakukan jika kereta kita mengalami kerosakan berpunca daripada pekerja pembersihan jalan seperti pemotong rumput.

Cermin retak
Perkongsian bermanfaat ini adalah daripada pengguna Facebook Mohd Aminudin mengenai perkara itu dan kini anda boleh mengetahui apa yang perlu dilakukan jika terlibat dalam situasi sebegini.

Jika anda sedang memandu di sebatang jalan dan tiba-tiba terdapat batu yang melantun ke arah cermin kereta, sehingga menyebabkan ianya pecah akibat daripada pekerja mesin rumput di tepi jalan. Apa yang harus anda lakukan?

Jangan panik dan berhenti ke tepi, ambil gambar dan berjumpa dengan pekerja mesin rumput tersebut. Dapatkan nama penuh dan syarikat kontraktor pekerja yang membuat kerja mesin rumput itu.

Tahukah anda setiap kerja pemotongan rumput di tepi jalan mempunyai insurans?

Ini kerana pihak berkuasa tempatan mewajibkan mana-mana syarikat yang ingin memasuki tender mesin rumput mesti mempunyai insurans jika berlaku kemalangan yang tidak diingini.

Sebelum kerja pemotongan rumput boleh dijalankan, pihak syarikat hendaklah mengemukakan Cover Note insurans mereka kepada pihak berkuasa tempatan terlebih dahulu sebagai bukti bahawa syarikat tersebut telah dilindungi oleh pihak insurans jika berlaku kemalangan.

Setelah anda mendapat nama syarikat tersebut, semak dengan pihak syarikat dimanakah bengkel kereta panel insurans syarikat terbabit?

Buat laporan polis dalam tempoh 24 jam dan setelah selesai, bawa laporan polis tersebut ke bengkel panel insurans syarikat tersebut untuk mendapatkan cermin baharu.

Laporan polis tersebut hendaklah menyatakan nama pemotong rumput (jika ada maklumat kad pengenalan lebih baik), nama syarikat dan alamat, tarikh, masa kejadian, serta nama jalan dan juga kawasan di mana kejadian berlaku.

Jadi, selepas ini kalau berhadapan dengan kejadian seperti ini tenang dan jangan marah. Berhenti ke tepi, ambil gambar dan berjumpa dengan pekerja tersebut untuk berbincang.

Semoga memberi manfaat.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*